Selasa, 19 Jun 2012

Kelebihan Bulan Rejab

Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJ-nya,
Sya'aban dengan malam NISFU-nya
Ramadhan dengan LAILATUL-QADAR-nya.

Kelebihan Bulan Rejab
Israq Mikraj dari Baitillah ke Baitul Maqdis dan ke Baitul Izzah dan Mustawa
Allah swt memfardukan Solat
Rasulullah saw berjumpa Allah swt


Peristiwa Israk & Mikraj

Peristiwa ini adalah mukjizat besar Rasulullah s.a.w. dan ia wajib dipercayai kerana ia bersumber dari ayat Al-Quran dan Hadith Sahih.
Israk bererti perjalanan di muka bumi pada waktu malam Nabi Muhammad saw dengan ruh & jasad dalam jaga (bukan mimpi) dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis, Palestin. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad saw ke langit dari Masjid al-Aqsa naik ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh dekat kursi Allah swt.

Mafhum Firman Allah swt:

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1).

"Dan demi sesungguhnya nabi muhammad telah melihat malaikat jibril dalam bentuk rupanya yang asal sekali lagi. Disisi "Sidratul Muntaha".Yang disisinya terletak syurga "Jannnatul Makwa". Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah semasa "Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam ngaib yang tidak terhingga. Penglihatan nabi muhammad tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat akan pemandangan yang indah disitu yang diizinkan melihatnya, dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan Tuhannya"
(An-Najm Ayat 13-18)

Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah iaitu tahun kesebelas kerasulan (Nabi Muhmammad saw dilantik menjadi Rasul). Tahun tersebut disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita). Ini berikutan dengan musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu
Kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang pertama.
Kemudian disusuli pula dengan kematian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraiys.
Begitu juga dengan penolakan dakwah Islam dari penduduk Thaif.

A. SEBELUM ISRAK DAN MIKRAJ

Pada malam tersebut, Rasulullah saw berada di rumah sepupunya Ummu Hani bt Abu Talib, lalu datang Jibril mengejutkan baginda. Lalu baginda dibawa menaiki buraq menuju ke Kaabah untuk proses pembersihan hati.

Rasulullah saw mengalami pembedahan di dada, ia dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda saw dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah saw. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimun nubuwwah". Selesai pembedahan, baginda menaiki Buraq meneruskan perjalanan luar biasa itu.

B. SEMASA ISRAK (PERJALANAN DARI MASJIDIL-HARAM KE MASJIDIL-AQSA):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah saw diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah saw akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa as menerima wahyu daripada Allah.
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa as dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah saw menghadapi gangguan jin ifrit dengan obor api. (Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.)

Semasa dalam perjalanan Rasulullah saw ke Masjid AL-Aqsa, baginda melihat beberapa gambaran antara langit dan bumi iaitu:
1.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah saw dibertahu oleh Jibril : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2.Tempat yang berbau harum. Rasulullah saw diberitahu oleh Jibril : Itulah bau kubur Masyithoh (tukang sikat rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
3.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
6.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba`.
7.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
8.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibril: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat bersama para nabi & rasul lainnya menjadi makmum.

Selepas solat, Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibril: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

C. SEMASA MIKRAJ (NAIK MENEMUI ALLAH):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah saw dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1.Langit Pertama: Rasulullah saw dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam as.
2.Langit Kedua: Nabi saw dan Jibril naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa as dan Nabi Yahya as.
3.Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf as.
4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris as.
5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun as yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi Musa as. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.
7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah di Baitul-Ma'mur. Rasulullah lalu dapat melihat 70,000 malaikat yang masuk setiap hari ke dalamnya. Setelah melihat beberapa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
8. Di Sidratul-Muntaha, Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu (akar pokok ini di langit ke-6, pucuknya dilangit ke-7): Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga.
9.Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malaikat Malik penjaganya.
10. Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Shoriful-Aqlam seorang diri tanpa ditemani Jibril.
11. Apabila Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T., lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah s.w.t. dan Rasulullah S. A. W., sehingga dikeluarkan perintah solat 50 kali sehari-semalam.
12. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. turun lalu bertemu Nabi Musa A. S. (di langit ke-6) yang kemudiannya meminta Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga. Walaupun begitu, Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.
13. Selepas itu Rasulullah S. A. W. melihat rupa asal Jibril a.s. yang sangat besar dengan 600 sayap yang meliputi ufuk.

D. SELEPAS MIKRAJ

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Keesokan harinya, Rasulullah s.a.w. memberitahu kaum Quraiys pengalaman tersebut. Lalu didustakan mereka kerana kebiasaannya perjalanan dari Mekah ke Baitul Muqaddis mengambil masa 1 bulan pergi dan 1 bulan pulang. Lalu murtadlah sebahagian umat Islam. Berbeza dengan Saidina Abu Bakar r.a. selepas mendengar penjelasan dari Rasulullah s.a.w. tentang peristiwa malam tersebut, beliau berkata
“صدقت ، أشهد أنك رسول الله”
(Engkau benar!, Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasul utusan Allah).

Sejak peristiwa ini, beliau digelar As-Siddiq yang Benar kerana kerana beliau terus percaya dan beriman dengan khabar daripada Baginda Rasulullah s.a.w ketika diceritakan peristiwa Israk dan Mikraj.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan