Isnin, 6 Ogos 2012

Perlombongan di Kelantan : Lombong Makin Banyak ~ Hasil Makin Sedikit

Maklumat dan data yang dinyatakan ini ialah daripada taklimat oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada Ketua Jabatan Persekutuan di Sutra Inn, Kota Bharu pada 5 Ogos 2012.

Aktiviti perlombongan adalah satu aktiviti yang berlaku turun temurun di Kelantan. Mineral seperti emas dan besi adalah antara yang dicarigali oleh rakyat Kelantan terutama di kawasan hulu dan pedalamanan Kelantan. Kelantan oleh Allah swt sebagai sebuah negeri yang dirahmati daripada pemerintah terdahulu sehingga sekarang.Kemusykilan wujud mutakhir ini ialah bagaimana aktiviti perlombongan yang semakin giat aktif di negeri Kelantan. Apakah kesan sosio-ekonomi dan alam sekitar aktiviti tersebut.

Rizab dan Nilai Mineral Negeri Kelantan (Anggaran 2012)
Mengikut anggaran Jabatan Mineral dan Geosains, deposit mineral Kelantan masih banyak terutama Feldspar (yang digunakan sebagai asas seramik), Feldspar banyak didapati di Jajahan Gua Musang, Mineral utama seperti emas, besi dan tembaga tidaklah terlalu banyak dengan nisbah kurang 40%.
Taburan Rizab Emas Kelantan
Rezab Magnese dan Bijih Besi
Bilangan pekerja yang terlibat dalam sektor ini tidaklah terlalu ramai. Januari sehingga April 2012, hanya sekitar 456 orang pekerja sahaja yang terlibat. Hal ini adalah disebabkan kerja-kerja pengeluaran deposit mineral dan sebahagian mineral dieksport ke negara luar, terutama Singapura dan China. Tidak ada kerja pemprosesan yang dilakukan kerana kandungan mineral yang rendah. Sekitar 40% sahaja dan aktiviti sektor kedua melibatkan pemprosesan adalah tidak ekonomik.
Statistik Perlombongan Negeri Kelantan 2012
 ( Jan - April 2012 )
Masalah utama ialah apakah yang diperolehi oleh rakyat Kelantan ? Apa yang diperolehi oleh negeri Kelantan sebagai hasil ? Apakah yang hilang dari Kelantan ? Apakah yang dieksport secara langsung itu tidak boleh dibangunkan industri berkaitan di Kelantan ? Di samping banyak persoalan lain yang melibatkan Kelestarian Alam Sekitar dan Pemusnahan Alam Sekitar. Tulisan ini bukan untuk menuding jari menuduh sesiapa namun untuk sama-sama kita menganalisis data-data yang dibentangkan secara analitikal dan rasional.
STATISTIK INDUSTRI PERLOMBONGAN (2010 - 2011)
1) Isu Kehilangan Bumi Kelantan
Kehilangan bumi Kelantan amat ketara, Islam menentang pemusnahan bumi. Allah swt berfirman dalam surah an-Nabaa: 6-7, Bukankah Kami telah menjadikan bumi ini sebagai hamparan. Dan gunung-gunung sebagai pasak? Larangan ini adalah larangan untuk meruntuhkan bukit dan gunung untuk apa sahaja keperluan. Apatah lagi untuk dijual kepada negara luar yang tidak memberikan hasil yang lumayan. Ahli falsafah barat, Mark Twains pernah berkata, “Buy land, they're not making it anymore”. Semua ini menyatakan bahawa tanah amat penting, seharusnya dipertahankan dan bukan untuk dijual begitu sahaja.
Mengapa pula kerajaan Kelantan tergamak menjual tanah? Sanggup merata bukit demi menjual tanah. Kebanyakan negara luar yang membeli tanah adalah untuk kerja-kerja penambakan laut bagi membesar dan meluaskan wilayah negara mereka. Tanah yang dijual adalah untuk dieksport ke negara Singapura dan kononnya kemudian dihantar ke China. Benar atau tidak ? Atau tanah itu digunakan untuk menambak laut. 
Ditanya kepada Pegawai Jabatan Mineral dan Geosains, berapakah nilai wang selori tanah yang terkandung bijih besi di dalamnya (sekitar 40%) yang dihantar ke Singapura? Menurut beliau, tertakluk kepada harga pasaran. Kata beliau, pada hari ini harganya RM90 selori. Masyaallah, bayangkan tanah selut yang dibeli untuk menambun tapak rumah dibeli dengan harga sekitar RM200 selori, manakala tanah eksport hanya RM90 selori. Isu di sini melibatkan strategi teknikal mengeksport tanah ke Singapura kerana kerajaan Malaysia melarang mengeksport tanah dan pasir untuk kerja tambakan pantai ke Singapura. Keraguan jelas di sini.
Bagaimanapun, isu kehilangan tanah adalah isu yang lebih besar yang tidak tertanding isu lumayan harga atau pendapatan negeri. Lebih menakutkan ialah bala Allah swt akan hadir setelah larangan-larangan Allah swt agar bukit dan gunung tidak digondolkan diperkecil dan abaikan.
2) Isu Pendapatan (Royalti) Kepada Kerajaan Kelantan 
Pada tahun 2010, royalti sebanyak 5% bagi setiap nilai mineral yang dikeluarkan dari bumi Kelantan bernilai RM9.94 juta. Sesuatu angka yang amat kecil berbanding keluasan dan aktiviti perlombongan secara besar-besaran. Bagaimanapun pada tahun 2011, jumlah royalti hanyalah sebanyak RM8.85 juta sahaja. Merosot walaupun keluasan meningkat. Kehilangan pendapatan yang besar adalah daripada aktiviti mineral granit (batu konkrit) dan mangan.
Kita seakan-akan tidak percaya bahawa pengondolan beberapa Bukit Batu Putih di sempadan Gua Musang - Pahang hanya memberi pendapatan royalti sebanyak RM766 ribu sahaja sepanjang tahun 2011 kepada kerajaan Kelantan. Begitu teruk hakisan dan gondolan merosakkan alam sekitar, namun pendapatan terjana tidak seberapa.
Perlombongan Feldspar atau tanah putih di Gua Musang
3) Isu Kelestarian Alam Sekitar
Kesan kemusnahan alam sekitar tidak diambil pertimbangan sewaktu urusan pengeluaran mineral. Air sungai Kelantan yang semakin keruh dan berkelodak adalah kesan alam sekitar. Pengurusan membaikpulih alam sekitar adalah lebih mahal daripada pendapatan tersebut. Bayangkan pendapatan RM766 ribu di Bukit Batu Putih memerlukan lebih RM5 juta untuk melestarikannya. Inilah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan kemudian daripada ini, ataupun lebih mudah disebut anak cucu kita kelak.
4) Isu Kehilangan Sumber Ekonomi
Isu kehilangan sumber ekonomi adalah satu isu yang dibahaskan di kalangan usahawan muda Kelantan. Usahawan-usahawan muda Kelantan melahirkan rasa kecewa kerana semua mineral dibawa keluar dan tidak diproses dan dijadikan produk siap atau separuh siap.
Deposit mineral Feldspar adalah antara mineral yang terbanyak di Selatan Kelantan, khususnya Gua Musang. Sudah sampai masanya sebuah kilang memproses Feldspar diwujudkan di Gua Musang bagi menjana kesan limpahan ekonomi perlombongan Feldspar. Kesan ekonomi melalui pertambahan peluang pekerjaan, kesan ekonomi pembandaran, kesan ekonomi pertumbuhan sub-urban dan jaringan telekomunikasi-ekonomi. Betapa banyaknya peluang pekerjaan boleh dicipta untuk rakyat Kelantan. Sekiranya eksport mineral Feldspar boleh bertahan sehingga 100 tahun lagi dengan jumlah deposit mineral Feldspar sebanyak 6 bilion tan metrik. Bayangkan betapa negara yang mengimport Feldspar Kelantan mampu menjana kekayaan dan kita pula hanya tersengih-sengih dengan untung kecil, namun terpaksa menanggung kemusnahan alam sekitar yang banyak.
5) Isu Kerosakan Jalan Raya dan Prasarana Lain
Setiap malam beratus lori mambawa mineral bijih besi ke kapal-kapal yang menunggu di Tok Bali untuk dieksport. Pengusaha lori cuba memaksimakan muatan bagi mencari untung lebih. Kesannya jalan raya rosak teruk. Hancur jalan-jalan aspal kerana aktiviti tanpa rehat lori-lori bijih besi. Untung daripada royalti besi hanyalah sebanyak RM1.056 juta pada tahun 2011. Sedangkan kos membaikpulih jalan tersebut melebihi RM100 juta. Kes ini juga berlaku di lombong Feldspar di Gua Musang.

Isu Good Governance sekali lagi perlu diberi perhatian. Kerajaan negeri Kelantan dibebani dengan gelagat politikus-politikus rakus yang mencari kekayaan peribadi tanpa mempedulikan memusnahkan alam sekitar.
Refleksi ~ Jika Singapura memerintah Malaysia dan kita memerintah Singapura. Adakah mereka akan menjual tanah mereka kepada kita sebagaimana kita menjual tanah kita kepada mereka ? Berpada-padalah dalam mencari kekayaan dunia. Fikirkanlah larangan Allah swt dan kemusnahan alam sekitar. Rasanya, ini semua kerana PAS sudah terlalu lama memerintah Kelantan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan