RASULULLAH SAW telah mengingatkan dalam
hadis-hadis sahih bahawa di antara pelbagai aliran kefahaman agama,
hanya pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang akan selamat di akhirat
kelak. Pegangan Ahli Sunnah meliputi pelbagai aspek agama bermula daripada
hukum akidah hinggalah kepada hubungan antara pemerintah dan rakyat. Memandangkan golongan pemerintah atau "ulil amri" begitu penting bagi
menjaga kesucian agama dan keutuhan masyarakat Islam, nas-nas syarak
meletakkan ketaatan kepada mereka selepas Allah SWT dan Rasulnya seperti
yang terdapat dalam Surah Annisa ayat 59.
Oleh kerana hubungan antara pemerintah dan rakyat begitu penting, para ulama membahaskannya dalam kitab-kitab akidah. Berasaskan dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan sunnah, para
ulama Ahli Sunnah telah ijmak mengatakan bahawa taat kepada pemerintah
adalah fardu ke atas setiap Muslim. Al-Mawardi ketika mengulas ayat 59
Surah Annisa menyatakan: "Maka Allah SWT (melalui ayat ini) memfardukan
ke atas kita taat kepada para pemerintah daripada kalangan kita". Ibnu Hajar dalam Fathul Baari menyatakan: "Para ulama telah ijmak menyatakan wajib taat kepada pemerintah yang berkuasa dan berjihad bersamanya".
Sehubungan dengan itu, menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa
besar yang diletakkan sebaris dengan dosa syirik, membunuh, makan harta
anak yatim, makan riba, menderhaka kepada ibu bapa, seperti yang
disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya Azzuwajir berasaskan hadis-hadis sahih riwayat Bukhari, Muslim Ibnu Abi Hatim dan lainnya. Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahoh Muslim menyatakan: "Adapun menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram dan ijmak ulama". Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut
saluran yang sah apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat secara sah
berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan
pentadbiran negara.
Benih pertama kumpulan yang digelar Khawarij ini ialah seorang yang
dipanggil Zulkhuwaisirah yang membantah cara Rasulullah SAW membahagikan
harta dan menyifatkannya sebagai "tidak adil". Lalu Nabi SAW bersabda
dalam sebuah hadis riwayat Bukhari yang bermaksud: "Orang ini dan
pengikut-pengikutnya, mereka membaca Quran, tetapi sekadar melafazkannya
sahaja, golongan ini boleh keluar dari agama seperti anak panah yang
menembusi sasarannya (tanpa disedari)". Dalam sebuah hadis Attabarani, Rasulullah SAW bersabda: "Penderhaka-penderhaka adalah anjing-anjing neraka".
Adalah diperhatikan bahawa puak penderhaka yang dimaksudkan dalam
hadis-hadis di atas dan yang muncul kemudiannya di zaman Saidina Ali r.a
adalah terdiri daripada kalangan mereka yang membaca Quran, serta
memakai jubah dan serban. Ini bermakna bahawa membaca Quran, memakai jubah dan serban tidaklah
menjadikan seseorang itu kebal daripada terkena laknat yang disebut
dalam hadis-hadis di atas, jika akidah dan tindak-tanduknya terkeluar
dari landasan Ahli Sunnah wal Jamaah. Kenyataan inilah yang mendorong Imam Muhammad bin Al-Husain Al-Ajurry As-Syafi'i memberi peringatan dalam bukunya Kitab Al-Syriah,
para ulama dahulu dan kini sependapat menyatakan bahawa Khawarij adalah
golongan yang jahat, penderhaka kepada Allah dan rasulnya, sekalipun
mereka sembahyang dan berpuasa serta bersungguh-sungguh dalam beribadat,
yang demikian itu tidak akan memberi manfaat kepada mereka".
Apa yang dinyatakan oleh Imam Muhammad bin Al-Husain di atas
bersandarkan kepada hadis-hadis sahih yang banyak menjelaskan akibat
buruk daripada tindakan penderhakaan, seperti menyebabkan seseorang mati
dalam keadaan jahiliah, ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT dan terputus
jalan ke syurga. Imam Annasaie meriwayatkan sabda Nabi SAW. "Sesiapa yang keluar dari sempadan taat dan memisahkan diri daripada kumpulan pemerintah, mati ia seperti mati jahiliah".
Imam Muslim meriwayatkan daripada Rasulullah SAW sabdanya: "Dan sesiapa yang mati tanpa ada kesetiaan kepada pemerintah, ia mati seperti matinya orang-orang jahiliah". Imam Al-Bazzar meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: "Mana-mana
kumpulan manusia mengerakkan perarakan terhadap pemerintah untuk
menghinanya, maka Allah SWT akan menimpakan kehinaan ke atasnya sebelum
hari akhirat".
Antara pesanan terakhir Rasulullah SAW ketika Hijjatul Wada' seperti
yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Tirmizi dan lain-lain ialah hadis yang
bermaksud: "Aku berpesan dengan sesungguhnya hendaklah kamu
beribadat kepada Tuhanmu, berpuasa pada bulan Ramadan, mengeluarkan
zakat harta dengan suci hatimu dan taat kepada pemerintah-pemerintahmu,
pasti kamu akan masuk syurga Tuhanmu".
Hadis ini menjadikan taat kepada pemerintah sebagai salah satu jalan
ke syurga. Ini bermakna jalan ke syurga terputus tanpa taat kepada
pemerintah, walaupun terdapat amalan-amalan fardu yang lain seperti
solat dan sebagainya. Memandangkan kemusnahan yang sangat besar terhadap agama dan umat
disebabkan oleh kegiatan penderhakaan atau "bid'atul khuruj" ini, maka
tidak hairanlah golongan penderhaka digelar oleh Rasulullah sebagai
"Kilabunnar" (anjing-anjing neraka).
Daripada pengalaman sejarah dan realiti masa kini seperti yang
dialami oleh beberapa negara Islam yang terjerumus dalam kancah perang
saudara, kegiatan yang bermula dengan tunjuk perasaan terhadap
pemerintah, akhirnya mencetuskan keganasan yang membawa kepada
pertumpahan darah, kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda serta
kewujudan suasana anarki dan kekacauan dalam negara.
Berasaskan hakikat inilah Imam Al-Ajurry ketika memperkatakan
mengenai golongan ini menyatakan: "Golongan penderhaka adalah
orang-orang yang jahat, najis lagi keji. Begitu juga sesiapa yang
sealiran dengan mereka daripada seluruh puak penderhaka yang mewarisi
pemikiran ini dahulu dan kini".
Maka bertolak daripada kewajipan menasihati dan mengingatkan sesama
Muslim, saya menyeru agar setiap umat Islam tidak melibatkan diri dengan
apa juga bentuk sekalipun dalam sebarang tunjuk perasaan anti kerajaan. Kerana perbuatan demikian adalah sebahagian daripada tindakan derhaka
dan membatalkan kesetiaan dan ketaatan kepada pemerintah yang telah
ijmak ulama mengharamkannya.
Kesannya seperti yang dinyatakan nas-nas di atas boleh menjejas iman,
memutuskan jalan ke syurga dan menyebabkan seseorang mati dalam keadaan
jahiliah. Sayugia diperingatkan juga bahawa mereka yang terlibat dalam
penganjuran, bukan sahaja akan menanggung dosa perbuatan itu, tetapi
juga dosa setiap orang yang mengikutnya, tanpa mengurangkan dosa para
pengikut tersebut.
Ini diterangkan dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: "...
dan sesiapa yang menganjurkan perbuatan jahat dalam Islam, maka ia akan
menanggung dosa perbuatan tersebut dan dosa setiap orang yang mengikuti
perbuatan tersebut selepasnya, tanpa mengurangkan sedikit pun dosa para
pengikut tersebut".
Mereka juga akan dipertanggungjawabkan di sisi Allah terhadap setiap
kesan yang terbit daripada perbuatan tersebut, seperti pertumpahan
darah, kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, serta kesengsaraan dan
kesusahan yang ditanggung oleh orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan