Khamis, 7 Jun 2012

Sultan Muhammad al-Fatih : Murrabi dan Mursyid di sebalik Kehebatannya

Di sebalik kehebatan seorang manusia, pasti ada manusia-manusia hebat di belakangnya. Mari kita kongsi kisah kehebatan Sultan Muhammad al-Fatih atau Sultan Muhammad II iaitu sultan ke-7 dalam Kesultanan Uthmaniyah.
Sultan Muhammad al-Fatih (الفاتح) dikenali dengan kata terbitan “al-fath / fathihah” bererti surah pembukaan atau “Pembuka yang besar” (1432-1481). Gelaran al-Fatih diberikan kepada baginda kerana baginda dan tenteranya membuka kota Konstantinopel.
Pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fatih
Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh sebuah hadis Rasulullah S.A.W; Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Hal ini disokong oleh kenyataan seorang sahabat Rasullullah S.A.W, Abu Ayub Al Ansari (ra) yang pernah mengikuti ekspedisi perang menentang tentera Rom di Konstantinopel ketika di zaman kerajaan Bani Umaiyyah. Beliau ingin jasadnya dikuburkan di tembok Konstantinopel dan ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan di bawah tembok tersebut, beliau berkata; "Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut & aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda."
Sultan Muhammad al-Fathih
Muhammad al-Fatih adalah sultan ke-7 yang memerintah Kesultanan Uthmaniyah menaiki takhta pada usia 19 tahun (1451-1481). Baginda menakluk Konstantinopel pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine. Muhammad dilahirkan di Edirne yang pada masa itu ibu kota kerajaan Uthmaniyyah pada 29 Mac 1432. Bapanya adalah Sultan Murad II (1404–51) ibunya Huma Hatun, anak perempuan Abd'Allah dari Hum.
Murad II berhasrat membebaskan Konstantinopel telah memanggil cendikiawan Islam termasuk Syeikh Syamsuddin. Syeikh Syamsuddin menyatakan bahawa bukan Murad II tapi bayi dalam buaian ini dengan merujuk Muhammad yang masih kecil. Muhammad dididik secara bersungguh-sungguh oleh bapanya Sultan Murad II. Untuk membangun ketinggian peribadinya. Semenjak kecil, beliau telah ditarbiah secara talaqi oleh para ulamak terulung pada zamannya. Asy-Syeikh Muhammad Ismail Al-Kurani telah menjadi murabbi Muhammad (al-Fatih). Ketika itu, Muhammad adalah gabenor bagi kawasan Manisa. Sultan Murad II telah menghantar beberapa orang ulamak untuk mengajar anaknya sebelum itu, tetapi tidak diendahkan oleh Muhammad. Lalu, beliau menghantar Asy-Syeikh Al-Kurani dan memberikan kuasa kepadanya untuk memukul Muhammad jika beliau membantah tunjuk ajar gurunya. Apabila beliau menemui Muhammad dan menjelaskan tentang hak yang diberikan oleh baginda Sultan, Muhammad ketawa lalu dipukul oleh Asy-Syeikh Al-Kurani dengan begitu kuat sekali. Peristiwa ini telah menimbulkan dendam yang mendalam pada diri Muhammad lantas selepas itu beliau terus menghafal Al-Quran dalam masa yang singkat. Beliau berazam untuk membalas ke atas al-Kurani apabila menjadi raja kelak. Apabila Muhammad menaiki takhta, Al-Kurani datang menemui Muhammad dan menyatakan bahawa dendam mereka yang rasa dizalimi adalah suatu kuasa dalaman yang kuat, Beliau memohon maaf kerananya dan minta supaya diadili atas kesalahannya. Muhammad memaafkannya.
Muhammad al-Fatih dikelilingi Ulama
Tarbiah yang diberikan oleh para ulamak murabbi itu memberikan pengaruh yang besar, bukan hanya kepada peribadi Sultan, bahkan kepada corak pemerintahan dan adat resam Kesultanan Uthmaniyah itu sendiri. Sekiranya Sultan melakukan kesilapan, murabbinya itu akan menegur. Sultan juga dipanggilnya dengan nama dan apabila bersalam, Sultan yang akan mencium tangan ulamak yang menjadi murabbinya itu. Dengan tarbiah yang teliti dan penuh terhormat seperti ini, tidak hairanlah jika peribadi unggul Muhammad Al-Fatih menempa nama di persada sejarah..
Kejayaan Muhammad al-Fatih juga didorong oleh seorang Murabbi yang membangunkan potensi diri beliau iaitu Syeikh Syamsuddin yang merupakan nasab keturunan Abu Bakar As-Siddiq. Semenjak kecil, Syeikh Syamsuddin berjaya meyakinkan Muhammad bahawa beliau adalah Raja yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith pembukaan Konstantinopel berkenaan. Apabila beliau menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh Syamsuddin bagi menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Konstantinopel demi merealisasikan hadis Rasulullah SAW berkenaan. Peperangan yang maha hebat itu berlangsung selama 54 hari.
Sultan Muhammad Al-Fatih sangat menyayangi Syeikh Syamsuddin. Beliau mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih dan ini sangat jelas dinyatakan oleh baginda ketika pembukaan Konstantinopel, “Sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah pendidikku, Asy-Syeikh Syamsuddin.
Syeikh Syamsuddin mendidik al-Fatih dengan kepakaran ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa (bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin) pada ketika berumur 21 tahun. Kejayaan baginda dalam menewaskan tentera salib menyebabkan ramai kawan dan lawan kagum dengan kepimpinan beliau serta taktik & strategi peperangannya yang dikatakan mendahului zamannya dan juga kaedah pemilihan tenteranya. Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. 
Ketinggian Akhlak Penentu Kegemilangan
Beliau diberi penekanan dari awal iaitu kepentingan kekuatan dalaman dan luaran. Kekuatan dalamannya ialah beliau tidak pernah meninggalkan solat Tahajud sejak akil baligh hingga saat kemangkatannya. Hal ini diketahui umum sewaktu pemilihan Imam Solat Jumaat pertama setelah pembukaan Kota Konstantinopel. Beliau memanggil semua tenteranya untuk membuat pemilihan Imam Solat Jumaat. Beliau mengarahkan semua tenteranya berdiri untuk memilih Imam Solat Jumaat pertama. Beliau bertanya, sesiapa  yang pernah meninggalkan solat fardhu sejak akil baligh sila duduk. Tiada tenteranya yang duduk. Sesiapa yang pernah meninggalkan solat berjemaah sejak akil baligh sila duduk. Tiada tenteranya yang duduk. Sesiapa yag pernah meninggalkan solat Rawatib sejak akil baligh sila duduk. Ada sebilangan tenteranya duduk. Sesiapa yang pernah meninggalkan solat Tahajud sejak akil baligh sila duduk. Maka pada masa itulah semua tenteranya duduk kecuali Sultan Muhammad al-Fatih. Maka baginda dipilih untuk menjadi Imam Solat Jumaat Pertama di Kota Islambol.
Kaedah pemilihan dan latihan tenteranya juga cukup hebat. Sewaktu perjalanan bersama 250,000 bala tenteranya ke Kota Rumeli (kota yang dibina sebagai pengkalan untuk melancarkan serangan ke atas Konstantinopel), mereka melalui kebun anggur dan semua tenteranya telah dinasihatkan agar tidak mengusik, merampas dan mencuri harta benda sesiapa sahaja dalam perjalanan walaupun sebiji anggur. Setelah berhenti berehat dan mendirikan khemah, Keluar panglima tentera menyatakan sultan demam panas dan memerlukan biji-biji anggur untuk dibuat ubat. Tiada tenteranya yang ada simpanan walaupun sebiji anggur. Kemudiannya Muhammad al-Fatih keluar dan menyatakan bahawa beliau sihat. Beliau hanya mahu menguji tenteranya kerana jika seorang sahaja tenteranya mencuri anngur dan pekebun anggur yang dizalimi berdoa kepada Allah swt maka tentera Islam pasti akan tewas kerana laknat Allah swt, Itulah ketinggian keperibadian Muhammad al-Fatih,
Masjid  Muhammad al-Fatih
Kehebatan Muhammad al-Fatih digambarkan dengan penuh keajaiban oleh sejarawan barat. “Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fateh sudah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”
Rumeri Hasari
Sultan Muhammad Al-Fatih telah membuat persediaan yang besar ke arah mencapai matlamatnya menawan Konstantinopel. Beliau telah menyediakan mujahid seramai kira-kira 250,000 dan ini merupakan angka yang begitu besar jika dibandingkan dengan tentera negara lain di zaman itu. Para mujahid berkenaan diberikan latihan intensif dan sentiasa diperingatkan dengan pujian Rasulullah SAW kepada tentera yang akan menawan Konstantinopel itu nanti.

Beliau telah membina Kota Rumeli (Rumeli Hisari) yang bermaksud benteng orang-orang Rom di tebing Eropah Selat Bosphorus iaitu di bahagian tersempit antara tebing Asia dan Eropah. Kota yang berhadapan dengan kota binaan Sultan Beyazid di sebelah tebing Asia ini, mempunyai peranan yang besar dalam usaha mengawal lalu lintas di selat tersebut. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta. Maharaja Byzantine telah berusaha gigih untuk menghalang Sultan Muhammad Al-Fatih daripada membina kota berkenaan tetapi gagal menghalangnya. 

Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk mempertingkatkan kelengkapan senjatanya. Beliau telah mendapatkan khidmat pakar membina meriam bernama Urban. Urban ialah rakyat Konstantinopel yang dipenjara oleh kerajaan Byzantine kerana enggan membina meriam bagi kerajaan Byzantine. Wakil dihantar ke penjara untuk berbincang dengan Urban. Setelah Urban setuju, Muhammad menghantar pakar yang menebuk dinding penjara dari bawah untuk membebaskan Urban.
Meriam Diraja Muhammad al-Fatih
Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang terbesar pada zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus tenaga tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 400 buah kapal laut untuk tujuan yang sama. 
Sebelum serangan dibuat, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh yang lain. Ini merupakan strategi yang penting supaya seluruh tenaga dapat ditumpukan kepada musuh yang satu tanpa ada sebarang ancaman yang berada di luar jangkaan. Antaranya ialah perjanjian yang dibuat dengan kerajaan Galata yang berjiran dengan Byzantine. Perkembangan ini sangat membimbangkan Maharaja Byzantine lantas pelbagai cubaan dibuat untuk menawan hati Sultan Muhammad Al-Fatih supaya membatalkan hasratnya. Hadiah dan rasuah cuba dibuat untuk tujuan berkenaan. Akan tetapi semuanya menemui kegagalan. 
Keazaman yang begitu kuat pada diri Muhammad Al-Fatih telah mendorong Maharaja Byzantine berusaha mendapatkan pertolongan daripada negara-negara Eropah. Namun gagal.

Serangan
Konstantinopel mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dari aspek geografi. Ia dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iaitu Selat Bhosporos, Laut Marmara Dan Perairan Tanjung Emas (Golden Horn) yang dihalang pintu masuknya oleh rantai besi raksasa. Ia berfungsi menghalang kapal daripada masuk ke pintu utama Kota Konstantinopel. 

Selepas melalui proses persiapan yang teliti, akhirnya Muhammad Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Konstantinopel pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M. Di hadapan tentera yang menjangkau 250,000, Al-Fatih telah menyampaikan khutbah mengingatkan para mujahid tentang kelebihan jihad, kepentingan memuliakan niat dan harapan kemenangan di hadapan Allah SWT. Beliau juga membacakan ayat-ayat Al-Quran mengenainya serta hadith Nabi SAW tentang pembukaan kota Konstantinopel. Ini semua memberikan kesan semangat yang tinggi dan jitu pada bala tentera itu lantas mereka menyambutnya dengan zikir, pujian dan doa kepada Allah SWT. Kehadiran para ulamak di tengah-tengah saf para mujahid itu juga menebalkan lagi keazaman mereka untuk menunaikan kewajipan jihad tersebut. 
Keesokan harinya, Sultan Muhammad Al-Fatih telah menyusun dan membahagikan tenteranya kepada tiga kumpulan. Pertamanya adalah kumpulan utama yang bertugas mengawal kota yang mengelilingi Konstantinopel. Di belakang kumpulan utama itu adalah tentera simpanan yang bertugas menyokong tentera utama di hadapan. Meriam Diraja telah dihalakan ke pintu Topkapi. Pasukan pengawal juga diletakkan di beberapa kawasan strategik seperti kawasan-kawasan bukit di sekitar Kota Byzantine itu. Kapal-kapal laut Uthmaniyah juga diletakkan di sekitar perairan yang mengelilingi Konstantinopel. Akan tetapi kapal-kapal berkenaan tidak berjaya memasuki perairan Tanjung Emas disebabkan oleh kehadiran rantai raksasa yang mengawal pintu masuk. 
Semenjak hari pertama serangan, tentera Byzantine telah berusaha keras menghalang tentera Uthmaniyah daripada merapati pintu-pintu masuk kota mereka. Tetapi serangan strategik tentera Islam telah berjaya mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari pelbagai sudut. Bunyi meriam itu telah menimbulkan rasa takut yang amat sangat kepada penduduk Konstantinopel sehingga menjejaskan semangat mereka untuk bertahan. 
Tentera Laut Uthmaniyah telah mencuba beberapa kali untuk melepasi rantai besi di pintu masuk Tanjung Emas. Dalam masa yang sama, panahan diarahkan kepada kapal-kapal Byzantine dan Eropah yang tiba untuk membantu. Walau bagaimana pun usaha ini tidak berjaya, dan ini memberikan semacam semangat di awalnya kepada penduduk Konstantinopel. Para paderi berjalan di lorong-lorong kota, mengingatkan penduduk supaya membanyakkan sabar serta terus berdoa kepada Jesus dan Maryam supaya menyelamatkan Konstantinopel. Maharaja Byzantine juga berulang-alik ke Gereja Aya Sofya untuk tujuan yang sama. 

Perjanjian Al-Fatih Dengan Maharaja Kostantine 
Maharaja Kostantine mencuba sedaya upayanya untuk menundukkan Al-Fatih. Pelbagai hadiah dan tawaran dikemukakan demi untuk menyelamatkan kedudukannya itu. Akan tetapi Al-Fatih tidak menerima kesemua tawaran itu sebaliknya memberi kata putus supaya Kostantinople diserahkan kepada Kesultanan Uthmaniyah secara aman. Al-Fatih berjanji, jika Konstantinopel diserahkan secara aman, tiada seorang pun yang akan diapa-apakan bahkan tiada gereja dan harta benda penduduk Konstantinopel yang akan dimusnahkan. Antara isi kandungan risalahnya itu, “… serahkan empayar kamu, kota Konstantinopel. Aku bersumpah bahawa tenteraku tidak akan mengancam sesiapa sama ada nyawa, harta dan kehormatannya. Mereka yang mahu terus tinggal dan hidup dengan amat sejahtera di Konstantinopel, bebas berbuat demikian. Dan sesiapa yang mahu meninggalkan kota ini dengan aman sejahtera juga dipersilakan”. 
Walaupun begitu, kepungan tentera Al-Fatih masih belum sempurna disebabkan oleh rantai besi yang melindungi pintu masuk Tanjung Emas itu. Dalam pada itu, para mujahid tetap terus melancarkan serangan demi serangan dan pada 18 April 1453M, pasukan penyerang Uthmaniyah telah berjaya memecah tembok Byzantine di Lembah Lycos yang terletak di sebelah barat kota. Tentera Byzantine telah berusaha sedaya upayanya untuk mempertahankan kota dari serangan itu. Pertempuran sengit berlaku bersama iringan hujan anak panah yang amat dahsyat. 
Pada hari yang sama, beberapa buah kapal laut Uthmaniyah telah cuba merempuh rantai besi di Tanjung Emas. Akan tetapi, gabungan tentera laut Byzantine dan Eropah telah berjaya menangkis serangan itu bahkan beberapa buah kapal laut Uthmaniyah telah musnah menyebabkan yang lain terpaksa pulang ke kawasan masing-masing untuk mengelakkan kemusnahan yang berterusan. 
Dua hari selepas serangan itu, berlaku sekali lagi serangan laut antara kedua belah pihak. Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri mengawasi misi berkenaan dari pantai. Beliau telah menghantar utusan kepada tentera laut yang sedang berperang. Katanya, “.. sama ada kamu tawan kapal-kapal itu atau pun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Sekiranya kamu gagal, maka jangan pulang kepada kami sedangkan kamu semua hidup!”. 
Muhammad al-Fatih melaungkan kata semangat
Ketika itu juga, Sultan Muhammad Al-Fatih menunggang kudanya sehingga ke gigi laut sambil menjerit dengan sekuat hati nama ketua misi berkenaan, Palta Oglu, untuk memberikan semangat. Kesungguhan Al-Fatih itu, menaikkan semangat tenteranya. Namun, tentera kristian berjaya juga mematahkan serangan mujahidin walaupun mereka bersungguh- sungguh melancarkan serangan demi serangan. Kegagalan tersebut menyebabkan Muhammad Al-Fatih menjadi begitu marah lalu memecat Palta Oglu dan digantikan dengan Hamzah Pasha. 
Kegagalan serangan tersebut telah memberikan kesan yang besar kepada tentera Uthmaniyah. Khalil Pasha yang merupakan wazir ketika itu cuba untuk memujuk Al-Fatih supaya membatalkan serangan serta menerima sahaja perjanjian penduduk Costantinople untuk tunduk kepada Daulah Othmaniyyah tanpa menakluknya. Cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Al-Fatih. Kini tiba masanya beliau berfikir tentang helah untuk tentera laut Uthmaniyah berjaya membolos Tanjung Emas.

Keajaiban Tentera Othmaniyyah 
Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat. Malam itu juga, tentera Uthmaniyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu. Sesungguhnya kejadian ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini. 
Pagi 22 April itu, penduduk Costantinople dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera Al-Fatih mendapat bantuan jin dan syaitan. 
Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, “Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!” 
Kostantinopel telah bermesyuarat dengan para pemimpin kerajaan Byzantine tentang strategi seterusnya, tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat. Kostantine menolak cadangan supaya beliau sendiri pergi mendapatkan pertolongan daripada umat kristian di Eropah bahkan tetap dengan keputusannya untuk mempertahankan Kostantinopel hingga ke titisan darah yang terakhir. 
Dengan kedudukan tentera Uthmaniyah yang sudah semakin mantap, Sultan Muhammad Al-Fatih telah melancarkan serangan besar-besaran ke benteng terakhir Byzantine. Tembakan meriam yang telah memusnahkan sebuah kapal dagang di Tanjung Emas, menyebabkan tentera Eropah yang lain lari ketakutan. Mereka telah meninggalkan pertempuran melalui kota Galata. Semenjak kejayaan kapal mujahiden memasuki perairan Tanjung Emas, serangan dilancarkan siang dan malam tanpa henti. 
Laungan takbir “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar” yang mengisi ruang angkasa telah memberikan semacam serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Seakan mendengar panahan petir, semangat mereka terus luntur dengan ancaman demi ancaman kalimah tauhid tentera Al-Fatih itu. Dalam masa yang sama, Al-Fatih dan tenteranya sentiasa mengejutkan mereka dengan seni perang yang baru sehingga mengawatkan pertahanan tentera salib itu. 
Ketika ribut yang ada belum reda, penduduk Kostantinopel menyedari bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk masuk ke pusat kota. Ketakutan melanda penduduk sehingga mereka curiga dengan bunyi tapak kaki sendiri. Merasakan yang bila-bila masa sahaja tentera ‘Turki’ akan keluar dari perut bumi berikutan dengan pembinaan terowong itu. 

Sultan Muhammad Al-Fatih yakin bahawa kemenangan semakin hampir. Kecintaannya kepada Kostantinopel yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, mendorong beliau untuk terus berusaha agar Kostantinopel menyerah kalah tanpa terus membiarkan kota itu musnah. Sekali lagi beliau menghantar utusan meminta Kostantine supaya menyerahkan Kostantinopel secara aman. Apabila utusan berkenaan sampai kepadanya, Kostantine telah berbincang dengan para menterinya. Ada yang mencadangkan supaya mereka menyerah kalah dan ada pula yang mahukan pertahanan diteruskan hingga ke penamat. Kostantine akhirnya bersetuju dengan pandangan kedua lantas menghantar maklum balas dengan katanya, "syukur kepada Tuhan kerana Sultan mahukan keamanan dan bersedia menerima pembayaran jizyah. Akan tetapi Kostantine bersumpah untuk terus bertahan hingga ke akhir hayatnya demi takhta, atau mati sahaja dan dikuburkan di kota ini!”. Apabila jawapan Costantine ini diterima, Al-Fatih menjawab, “Baiklah… tidak lama lagi akan terhasil bagiku di Kostantinopel itu sama ada takhta atau keranda…!”. 
Perbincangan dilakukan oleh Al-Fatih tentang strategi seterusnya. Pelbagai kemungkinan dipertimbangkan dan akhirnya keputusan dibuat untuk meneruskan rancangan menawan Costantinople sebagaimana yang telah disusun. 


Hari Kemenangan

Pada 27 Mei 1453, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama tenteranya telah berusaha keras membersihkan diri di hadapan Allah SWT. Mereka membanyakkan solat, doa dan zikir dengan harapan Allah SWT akan memudahkan kemenangan. Para ulamak pula memeriksa barisan tentera sambil memberi semangat kepada para mujahidin. Mereka diperingatkan tentang kelebihan jihad dan syahid serta kemuliaan para syuhada’ terdahulu khususnya Abu Ayyub Al-Ansari RA. “…sesungguhnya apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika kemenangan hijrah, baginda SAW telah pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sesungguhnya Abu Ayyub telah pun datang (ke Costantinople) dan berada di sini!” Kata-kata ini telah membakar semangat tentera Al-Fatih hingga ke kemuncaknya. 
Dalam masa yang sama, penduduk Costantine melakukan upacara peribadatan secara bersungguh-sungguh dengan harapan Tuhan akan membantu mereka… 
Tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H / 29 Mei 1453M, serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan supaya meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Penduduk Costantinople telah berada di kemuncak ketakutan mereka pagi itu. Mujahidin yang sememangnya menginginkan syahid, begitu berani menyerbu tentera salib di kota itu. 
Tentera Othmaniyyah akhirnya berjaya menembusi kota Costantinople melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera Daulah Othmaniyyah di puncak kota. Costantine yang melihat kejadian itu berasa putus asa untuk bertahan lantas menanggalkan pakaian maharajanya supaya tidak dikenali musuh. Akhirnya beliau menemui ajal dalam keadaan yang amat mengaibkan. 
Berita kematian Kostantine telah menaikkan lagi semangat tentera Islam untuk menyerang. Begitu juga sebaliknya, bagaikan pokok tercabut akar, tentera salib menjadi kucar kacir apabila berita kematian maharajanya tersebar. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan tentera Al-Fatih, akhirnya berjaya sampai ke cita-cita mereka. Kejayaan menguasai Konstantinopel telah disambut dengan penuh rasa syukur oleh Al-Fatih serta… seisi langit dan bumi. Beliau bertitah, “.. Alhamdulillah, semoga Allah merahmati para syuhada, memberikan kemuliaan kepada mujahidin, serta kebanggaan dan syukur buat rakyatku” 


Sebaik-baik Ketua Dan Tentera 

Pada hari itu, majoriti penduduk Konstantinopel  bersembunyi di gereja-gereja sekitar kota. Sultan Muhammad Al-Fatih berpesan kepada tenteranya supaya bermuamalah dengan baik kepada penduduk Kostantinopel sambil mengucapkan tahniah kepada tenteranya yang berjaya merealisasikan sabda Rasulullah SAW: 
“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” 
Dengan penuh rasa syukur dan tawadhu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah sujud ke bumi mengucapkan sebesar-besar syukur ke hadrat Allah atas kemenangan bersejarah itu.
Beliau kemudiannya menuju ke Gereja Aya Sofya yang ketika itu menjadi tempat perlindungan sejumlah besar penduduk kota berkenaan. Ketakutan jelas terbayang di wajah masing-masing bilamana beliau menghampiri pintu. Salah seorang paderi telah membuka pintu gereja, dan Al-Fatih meminta beliau supaya menenangkan sekalian mereka yang ada. Dengan toleransi Al-Fatih, ramai yang keluar dari tempat persembunyian masing-masing bahkan ada di kalangan paderi yang terus menyatakan keislaman mereka. 
Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengarahkan supaya gereja berkenaan ditukar menjadi masjid supaya Jumaat pertama nanti akan dikerjakan solat di masjid ini. Para pekerja bertugas bertungkus lumus menanggalkan salib, patung dan gambar-gambar untuk tujuan berkenaan. Pada hari Jumaat itu, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama para muslimin telah mendirikan solat Jumaat di Masjid Aya Sofya. Khutbah yang pertama di Aya Sofya itu telah disampaikan oleh Asy-Syeikh Syamsuddin. Pada hari itu juga Sultan Muhammad Al-Fatih telah bersumpah bahawa barangsiapa yang menukar Masjid Aya Sofya kembali kepada gereja, maka akan berolehlah kutukan dan laknat darinya dan Tuhan Masjid Aya Sofya itu.  
Setelah kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh menawan Konstantinopel, beliau telah memerintahkan tenteranya mencari kawasan perkuburan Abu Ayyub al-Ansari. Padanya, Abu Ayyub perlu disempurnakan jenazahnya sebagai seorang sahabat nabi. Setelah ditemui, Sultan Muhammad al-Fatih meminta supaya kuburnya digali dan dipindahkan ke tempat yang lebih baik.
Setelah digali, akhirnya mereka menemui bahagian kakinya terlebih dahulu. Di sini Sultan Muhammad al-Fateh memerintahkan seluruh rakyatnya mencium kaki Abu Ayyub al-Ansari yang fizikalnya masih segar itu. Walau bagaimanapun, beliau gagal menciumnya kerana tatkala hendak mencium tiba-tiba sahaja kaki itu tertarik semula ke dalam tanah. Kejadian itu berlaku berturut-turut sebanyak tiga kali. Pada malam itu, Sultan Muhammad al-Fatih bermimpi bertemu dengan Abu Ayyub al-Ansari. Abu Ayyub al-Ansari menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan rasa malu dan hormat kepada Sultan Muhammad al-Fatih. Padanya, tidak layak orang yang telah berjaya menawan Kota
Konstantinopel mencium kakinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan